Archive for April, 2008

Baitul Muslim

Artikel Ustaz Hasrizal yang di siarkan di saifulislam.com amat bagus untuk semua jadikan renungan. Dia menyentuh mengenai pertumbuhan yang membimbangkan dalam keruntuhan keluarga yang juga berlaku dikalangan ikhwan dan akhwat yang berlatar belakangkan keagamaan yang kuat. Boleh dijadikan panduan kepada semua yang inginkan keluarga yang bahagia mengikut landasan Islam. Yang menariknya, beliau juga menyentuh tentang ‘soft science factor’ yang juga mengikut sunnatullah dalam baitul muslim yang sering kita abaikan. Sila klik di sini (Tanggungjawab Tanpa Cinta) untuk bacaan sepenuhnya.

April 30, 2008 at 9:34 am Leave a comment

Tafsir al-Hujurat

Dalam perbincangan minggu ini, kami diminta mengaitkan isi kandungan di dalam surah Hujurat ayat 1-6 dengan hadis 12 di dalam buku Ibnu Rajab syarah hadis 40 Imam Nawawi.  Allah telah menggariskan panduan yang terperinci mengenai etika dan peradaban dalam perhubungan ketua dan pengikut dalam sesuatu jemaah. Pentingnya taat pada perintah ketua bagi menjamin kemaslahatan jemaah dan kerja yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

Di dalam perbincangan hadis ini, Rasulullah memberitahu kepada kita bahawa sesungguhnya kebagusan Islam seseorang itu ialah apabila dia meninggalkan perkara yang sia-sia, tidak mempersibukkan diri dengan hal-hal yang tidak berkaitan dan hanya fokus kepada perkara-perkara yang menguntungkan Islam semata-mata.

Di dalam surah al-Hujurat pula memberikan peringatan kepada orang-orang yang beriman supaya jangan mendahulukan Allah dan rasulnya (juga termasuk pemimpin/pewaris nabi yang menjalankan tugas nabi) termasuk meninggikan suara kepada ketua (murobbi), melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi yang amat jelas perkara-perkara ini hanyalah sia-sia dan tidak membawa keuntungan kepada sesiapa. Penjagaan lisan amat penting dalam Islam bagi menjaga keharmonian di dalam satu-satu organisasi. Penjagaan adab dan tingkah laku apabila berlaku perselisihan faham dalam sesuatu jemaah adalah amat penting dengan mentaati sesuatu keputusan daripada ketua. Ditekankan juga dalam perbincangan ini akan kebagusan Islam seseorang itu dapat dinilai apabila seseorang itu dapat menyempurnakan sesuatu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah ke atasnya.

April 30, 2008 at 3:38 am Leave a comment

Kerja untuk apa?

Saya terbaca satu artikel yang amat bagus untuk sama-sama kita renung dan fikir-fikirkan. Sila klik—> kerja untuk apa?

April 29, 2008 at 9:15 am Leave a comment

Tugas Utama Para Nabi

Dari pembelajaran kuliah Tafsir minggu ini, surah al-Jumuah ayat 2 menyentuh tugas utama para nabi. Tugas pertama tilawah, mengajar membaca al-quran sehingga fasih iaitu fasaha bagi penjagaan makna bahasa al-quran, adalah amat penting kerana ia mengandungi suruhan2 Allah dan peringatan bagi seluruh alam. Perutusan nabi yang Ummi adalah penjagaan maslahat al-Quran itu sendiri dan ia merupakan perancangan Allah dalam memantapkan kebenaran yang Rasulullah bawa melalui penerimaan wahyu dari Jibrail.

Tugas kedua Ta’lim: mengeluarkan maknanya dan mengajarkan Isi kandungannya yang merupakan program hidup manusia yang telah dijadualkan dan ditetapkan oleh Allah.

Tugas ketiga Nabi Yuzakkii him, daripada perkataan tazkiyah: penyucian jiwa, yang dilakukan oleh nabi ialah dengan cara mentarbiah para sahabat selama 13 tahun yang dapat mengubah karakter jahiliyah kepada orang yang paling mulia dlm sejarah ketemadunan manusia. Keperluan kepada penyucian jiwa yang dilakukan dengan kaedah pentarbiahan yang dilakukan oleh nabi merupakan manhaj atau model terbaik kepada pembinaan kejiwaan manusia. Keperluan kepada tarbiyah ini amat diperlukan memandangkan manusia memiliki kecenderungan nafsu kepada yang tidak baik, maka senantiasa berlaku pertarungan antara nafsu ammarah dan nafsu mahmudah. Dan ini memerlukan kepada peringatan yg berulang-ulang daripada seorang pendidik (murobbi) dan proses tarbiyah ini memakan masa yg agak panjang dan berterusan. Ini merupakan kaedah pembelajaran dalam islam yg amat memberi penekanan kepada keseimbangan akal dan jiwa bagi menjalani kehidupan yang tidak melampaui batas dan senantiasa berada diatas landasan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Keberuntungan kaum quraish dalam pemilihan nabi dikalangan mereka telah mengangkat mereka ke tahap mulia. Tetapi Nabi juga menyebut akan kemuliaan Salaman Alfarsi yang berbangsa parsi dan juga orang yang kemudian iaitu segolongan manusia yang beriman kepada segala ajaran Rasulullah tanpa dapat menatap wajah nabi yang dijanjikan syurga tanpa hisab. Tujuan Rasulullah menyebut akan kelebihan kaum-kaum lain adalah bagi memberi penekanan kepada ketinggian taqwa seseorang yang mengangkat seseorang itu pada penilaian Allah bukan pada kelebihan bangsa itu sendiri. Pentarbiyahan nabi yg berlandaskan kekuatan aqidah telah berjaya menghapuskan unsur-unsur asabiyah iaitu fanatik kepada sesuatu bangsa itu yang bersifat jahiliyah dalam bangsa Arab dan seterusnya mereka berjaya mencapai kekuatan luarbiasa menentang musuh-musuh Islam sehingga Islam dapat disebarkan ke seluruh pelusuk alam.

Kedatangan Nabi di kalangan orang Arab bukan sahaja menentukan hala tuju kepada penduduk Arab, tetapi untuk semua umat manusia jadikan panduan kehidupan di dunia dan diakhirat.

April 21, 2008 at 9:53 am 1 comment

PERUBAHAN

Sedikit kupasan mengenai buku Dr. Taufiq Al-Waie, Iman Membangkitkan Kekuatan Terpendam. Di dalam bukunya, dia mengesyorkan kita melalui 3 perkara bagi memperbaharui tindakan kita dalam mengubah kehidupan ini.   Dia menyatakan bahawa menyeimbangkan optimisme dengan realiti merupakan cara terbaik yang digunakan oleh orang-orang sukses.  Berikut, tiga keadaan yang harus diperhatikan untuk memperoleh keseimbangan.

  1. Lihat kondisi sekarang dengan realistik, tanpa ditokok tambah.
  2. Bayangkan kondisi yang ada dengan gambaran yang lebih baik daripada yang ada.
  3. Berusahalah untuk menjadikan situasi yang Anda lihat dengan gambaran yang lebih baik daripada yang seharusnya.

Perkara diatas merupakan cara untuk membentuk keyakinan kita. Kerana hanya dengan diri kita sendiri yang menentukan/mengkondisikan dan mengarahkan diri secara sedar.

Tujuan yang kita inginkan ialah agar kita dapat melihat keyakinan mana yang bekerja untuk kemaslahatan kita, atau keyakinan yang efektif yang akan mendorong lahirnya kekuatan yang luar biasa.

Mengambil manusia berjaya sebagai contoh, al-Quran menceritakan kepada kita kisah orang-orang shalih dan kisah para Nabi serta Rasul agar kita dapat meneladani mereka. Allah SWT berfirman “mereka itu adalah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka. (Al-An’am:90)

Ajukan soalan pada diri kita, apakah sumber keyakinan peribadi kita?

Contoh yang diberikan, sekiranya seorang pelajar meyakini bahwa dirinya takkan mampu melakukan apa pun, pastinya pelajar itu akan gagal, kerana dia sendiri telah mengirim mesej kepada otaknya tentang kegagalan. Pada kondisi ini, pelajar itu hanya menggunakan kemampuannya yang terbatas. Jika kita dari awal lagi telah mengaku akan ketidakupayaan kita maka kita melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan lemah dan tidak disertai dengan keyakinan. Jika demikian, apakan yang dapat diraih dengan cara seperti ini? Kemungkinan paling besar, hasilnya juga akan sangat lemah. Kegagalan yang diperolehi itu selanjutnya akan melemahkan keyakinan mereka dengan lebih teruk lagi.

Matlamat yang jelas dan berwawasan tinggi dalam hidup akan mengerah segala kekuatan dalam diri bagi meraih hasil yang luar biasa. Contoh yang diberikan oleh Dr. Al-Waie, Ikhwanul Muslimin mempunyai keyakinan yang tinggi akan kemampuan mereka apabila menghadapi tribulasi yang menghalang gerakan dakwah mereka. Tetapi mereka segera menolak kegagalan dan dan menguatkan usaha-usaha mereka dengan penuh yakin akan meraih kejayaan. Hasilnya Ikhwanul Muslimin terus wujud dan meneruskan usaha dakwahnya dan pengaruh besarnya bukan hanya di Mesir tetapi ke serata dunia.

Firman Allah SWT. “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali Imran:139)

“Padahal kekuatan itu hanyalah milik Allah, Rasulnya dan milik orang-orang yang mu’min.” (Al-Munafiqun:8)

April 3, 2008 at 8:35 am Leave a comment

Membaca itu Fardhu (2)

teropong.gif

Persoalan yang dibangkit oleh Ustazah di Kelas Tafsir pada minggu ini kepada anak muridnya, ‘Apa hukumnya membaca berdasarkan ayat pertama Al-Quran Surah Al-Alaq’. Jawapan yang diperolehi adalah pelbagai. Ada yang mengatakan wajib, fardhu, dan ustazah menjelaskan hukumnya adalah fardhu kerana sumber hukum yang diwahyukan dari Al-Quran adalah fardhu. Hukum dan fadhilatnya sama seperti solat, dan ia merupakan ibadah. Maka dengan itu perlu diambil kira syarat membaca sama dengan syarat sah solat sekiranya kita ingin memperolehi pahala dan menampakkan keberhasilannya dengan menambah lagi ilmu pengetahuan itu.

 

Syarat pertama, hendaklah kita ada matlamat membaca itu sendiri. Matlamat itu hendaklah kerana ma’rifatullah, ingin mengenal lebih dekat kepada Allah. Syarat kedua, persiapan diri amatlah penting bagi kita untuk menerima ilmu itu. Persiapan dari segi waktu, maka perlulah didalam jadual seharian kita supaya dimasukkan satu slot masa khas untuk pembacaan. Pemilihan waktu itu pastinya perlulah kepada masa perdana supaya mudah kita menerima masuk kedalam otak dan seterusnya penerimaan hati itu adalah pemahaman yang kita kehendaki bagi mencapai celik hati. Penerimaan ilmu yang amat baik pastinya di waktu yang amat tenang dan tanpa sebarang gangguan dan waktu seawal 4 pagi amatlah disarankan jika kita mempunya matlamat yang jelas tadi. Syarat seterusnya tempat pembacaan ilmu tadi perlulah tempat yang private, dan kondusif yang boleh membantu pencernaan ilmu itu.

 

Seperkara yang menarik yang saya perolehi daripada program radio IKIM pagi tadi yang memperbincangkan mengenai Ilmu dan Peradaban. Panel mengatakan bahawa dalam menuntut ilmu itu maka kita akan melalui satu proses pembentukan jiwa dimana berlakunya pencernaan dan penghadaman dari pembacaan yang kita lakukan. Analogi yang diberikan olehnya dalam menerangkan melibatkan proses dalam menuntut ilmu adalah apabila kita melihat diri kita didalam cermin, ada dua perkara yang berlaku. Pertama, wajah yang berada diluar cermin, dan kedua ialah bayangan yang kita lihat di permukaan cermin itu. Dua perkara yang berlainan tetapi sesuatu yang menyerupai sesuatu yang lain dan ia bukan hanya bayangan. Dia menyamakan cermin itu sebagai jiwa manusia. Proses pencernaan atau penyerapan sesuatu itu akan terpancar diluar iaitu dirinya sendiri dan wajah seseorang itu merupakan makna yang terkandung didalam ilmu yang dipelajarinya. Dengan kata lain, ilmu yang benar itu adalah serupa dengan wajah atau rupa yang kita lihat diluar cermin itu. Mungkin saya tidak dapat mengambil sepenuhnya daripada apa yang hendak disampaikan oleh panel tadi kerana masa yang amat singkat untuk menerangkan sesuatu yang mendalam.

 

Tetapi apa yang lebih penting, ialah kita mengambil tindakan yang seterusnya setelah kita telah mengetahui akan tuntutan Allah kepada kita. Untuk mengambil amalan membaca sebagai sesuatu yang fardhu didalam kehidupan seharian kita, kita perlu menyusun semula jadual waktu hari-hari kita, meneliti tabiat membaca kita supaya lebih berkesan dan mencapai matlamat ma’rifatullah itu sendiri. Jika sebelum ini kita hanya menggunakan masa-masa terluang untuk membaca, dan tidak mengkhususkan masa-masa tertentu untuk pembacaan ilmiah, maka wajarlah kita mengatur masa 24 jam kita ini dengan lebih cekap lagi. Tempat juga memainkan peranan yang amat penting bagi mencapai matlamat ini. Satu bilik khas yang menjadi tempat kita muhasabah diri, tempat bahan-bahan rujukan kita haruslah disediakan supaya kita lebih fokus apabila kita membuat pembacaan. Apa yang kita mahu pada diri kita adalah peningkatan yang lebih membawa makna dan mencapai objektif mendekatkan diri kepada Allah dan bukan sekadar hanya untuk suka-suka mengisi masa-masa terluang.

April 1, 2008 at 9:46 am Leave a comment

Tabiat Iman

tree.gif

Petikan dari buku Dr. Taufiq al-Waie, Iman Membangkitkan Kekuatan Terpendam, “Kesalahan terbesar yang di lakukan manusia dalam memahami keimanan adalah keyakinan bahwa iman hanyalah kumpulan pemahaman dan pemikiran yang kaku, tidak terkait dengan amal, tindakan, dan aktivitas”. Firman Allah SWT didalam surah Al-Asr memberikan gambaran yang jelas mengenai tabiat iman itu.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” Orang-orang yang beriman senantiasa di kaitkan dengan pelbagai amalan soleh dan ini memperjelaskan kepada kita betapa iman itu merupakan praktis dan amalan-amalan yang memberikan impak kepada kehidupan seseorang itu yang juga ada hubungan kemanusiaan yang tinggi. Amalan nasihat-menasihati sesama insan itu adalah tabiat orang-orang beriman dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Oleh itu keimanan itu dinilai dengan hasil kerja usaha yang amat besar dan pelbagai dan tinggi nilainya disisi Allah. Begitu jelas sekali syarat menjadi mukmin itu adalah amal-amal soleh, dan tanpa amal soleh maka tidak ada nilainya hidup kita disisi Allah, hiduplah kita dalam sia-sia dan kerugian. Inilah satu-satunya ajaran yang akan membawa kita keuntungan didunia ini iaitu dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan dengan sabar. Renung-renungkanlah.

April 1, 2008 at 8:34 am Leave a comment


Recent Posts

Categories

Feeds


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.