Posts filed under 'Salam Perkenalan'
Salam Buat Akhwat.
Blog ini ditujukan khas kepada sahabat-sahabat yang mencari-cari jalan menuju kepada Penciptanya. Dan moga-moga jalan yang kita pilih ini adalah jalan yang benar-benar lurus, yang akhirnya akan membawa diri kita kepada Allah. Iaitu jalan yang akan membawa kita menjalani kehidupan yang diredhai Allah, kehidupan yang menepati ajaran Nabi kita Muhammad SAW.
Mungkin persoalan yang perlu kita tanya pada diri kita sendiri, apakah erti kehidupan yang diredhai oleh Allah? Adakah kehidupan ini benar-benar menepati landasan-landasan yang telah di tetapkan oleh Islam? Pastinya kita akan mencari-cari kisah Sahabat-sahabat seperjuangan Rasulullah untuk kita jadikan rujukan dalam meniti kehidupan kita seharian. Dan sirah perjalanan kehidupan Rasullullah itu sendiri seharusnya menjadi penghayatan dalam menjalani kehidupan kita sebagai ummat Nabi Muhammad. Tapi benarkah kita bersungguh-sungguh dalam mempraktikkan apa yang telah diajarkan oleh rasulullah. Dan apakah kita pasti kita tahu apakah isi-isi kandungan yang di ajarkan oleh baginda SAW. Sebelum kita mahu mempraktikkan apa yang di ajarkan, pastinya kita perlu mengalami proses mencari ilmu, mendalaminya, memahaminya dan akhirnya menterjemahkannya dengan amalan itu sendiri. Tapi persoalannya adakah kita sungguh-sungguh ambil tahu kisah kehidupan yang seperti itu, atau kita sibuk dengan kehidupan yang mengejar kemewahan dan keselesaan, yang hanya memenuhi segala keperluan yang bersifat keduniaan semata-mata . Atau kita kononnya memilih keseimbangan dengan berkefahaman dengan 50 dunia, 50 akhirat. Bukan kah ini ada keraguan dalam keimanan kita bahawa kita hidup kerana Allah dan untuk itu pastinya matlamat kita adalah akhirat seratus peratus kerana kita tahu isi dunia yang kita kejar ini tidak ada nilai langsung di sisi Allah.
Dalam mencapai pemahaman yang lebih jelas mengenai Islam, cara hidup yang syumul yang sepatutnya difahami oleh kita sebagai seorang Islam untuk kita hayati. Saya berhasrat berkongsi sedikit dari cebisan-cebisan ilmu yang saya perolehi dari pengajian saya dari kelas-kelas agama yang saya telah saya hadiri. Juga dari kesimpulan-kesimpulan yang saya dapati dari pengalaman-pengalaman sendiri juga daripada orang-orang yang saya kenali, dan penelitian yang saya lakukan terhadap satu-satu peristiwa yang biarpun ia tidaklah sehebat mana tetapi sebenarnya mengandungi pengajaran kepada kita. Segala apa yang berlaku dalam kehidupan ini pasti berada dalam perancangan dan pengetahuan Allah. Ada sebab dan pengajaran yang boleh kita manfaatkan. Dan seharusnya, pengajaran itu dapat dimanfaatkan kepada ramai manusia.
1 comment March 24, 2008